50 Pelabur Rugi RM15 Juta, Hisyam Yunus & Co Tuntut Keadilan Ke Atas Sebuah Syarikat Pelaburan
Tindakan itu diambil berikutan kegagalan pihak syarikat memulangkan wang pelaburan seperti dijanjikan.
Cover image via Hisyam Yunus & CoFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 50 pelabur tampil menuntut keadilan selepas mendakwa kerugian hampir RM15 juta dalam skim pelaburan melibatkan syarikat Alpha Capital (M) Berhad pada tahun 2023 yang lalu
Firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co telah bertindak memfailkan Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up) terhadap syarikat tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebagai langkah undang-undang untuk memulihkan dana pelaburan dan memastikan keadilan diberikan kepada semua pelabur.
Menurut Peguamcara Pempetisyen, Tuan Muhammad Hisyam Md Yunus, tindakan ini diambil berikutan kegagalan pihak syarikat memulangkan wang pelaburan seperti dijanjikan, serta pelanggaran perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini.
"Alpha Capital bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar Injunksi Mareva yang diperintahkan Mahkamah pada September 2024. Kami percaya penggulungan syarikat ini adalah langkah paling wajar dan perlu bagi membela nasib para pelabur serta membolehkan wang mereka dapat dikembalikan melalui proses likuidasi dan semakan transaksi,termasuk pengurusan akaun Syarikat oleh Pengarah-Pengarah," tegas beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat firma guaman tersebut.

Sebagai rekod, Pesuruhjaya Kehakiman, Yusrin Faidz Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya yang juga bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli kerana kegagalan mereka mematuhi dua perintah mahkamah bertarikh 5 September dan 22 November tahun lepas.
Bagaimanapun, Yusrin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara selama dua bulan bermula hari ini, bagi memberi masa kepada pasangan itu mematuhi sepenuhnya arahan Mahkamah, dan jika tidak dipatuhi, penjara selama 20 hari bakal dikuatkuasakan.
Selain penjara, mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya membayar denda RM10,000 setiap seorang dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal mereka akan berdepan tambahan tujuh hari penjara.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dibuat dalam kes antara plaintif dan defendan.
Pasangan itu dikenakan perintah injunksi Mareva dalam kes saman membabitkan 64 pelabur yang menyaman Alpha Capital kerana melanggar kontrak yang melibatkan jumlah keseluruhan RM19,831,440.50 di mana sebelum ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda RM10,000 setiap seorang terhadap dua pengarah syarikat Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya Erna Elliyana Rosli, kerana menghina mahkamah setelah gagal mematuhi dua perintah Mareva yang menghalang pelupusan aset syarikat.
Tindakan 'winding up' sebagai penyelesaian dan precedent undang-undang
"Perintah winding up ini bukan hanya soal penutupan operasi, tetapi satu jalan ke hadapan untuk meneliti semula semua transaksi, audit, dan aset syarikat. Ini membolehkan pelabur melihat ke mana wang mereka disalurkan dan membolehkan tindakan undang-undang lanjut diambil jika terdapat unsur penipuan atau penyelewengan," tambah Hisyam.
Setakat ini, saman sivil yang difailkan mewakili 64 pelabur dengan jumlah tuntutan mencecah RM19.8 juta. Pelabur mendakwa dijanjikan pulangan sehingga 5% sebulan, namun bayaran terhenti selepas beberapa bulan, disusuli dengan pelbagai alasan serta kegagalan pihak syarikat memberikan penjelasan.

Salah seorang pelabur yang ditemui menyatakan bahawa beliau mengalami kerugian RM1 juta, manakala seorang lagi pelabur hilang keseluruhan wang simpanan berjumlah RM600,000.
Tetuan Hisyam Yunus & Co menekankan bahawa keputusan winding up yang dijangka pada 4 November 2025 bukan sahaja akan memberikan kelegaan kepada para pelabur, malah bakal menjadi precedent penting dalam sistem kehakiman negara bagi melindungi pelabur yang menjadi mangsa penipuan pelaburan korporat.
"Kami berharap mahkamah memberikan keputusan yang berpihak kepada pelabur. Tindakan ini bukan semata-mata bagi mendapatkan kembali wang mereka, tetapi untuk menegakkan akauntabiliti dan ketelusan dalam ekosistem pelaburan negara," ujar Hisyam.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



