171 Lelaki Tempatan Dibebaskan Susulan Tiada Yang Mengaku Jadi Mangsa – PDRM
Sejumlah 201 individu ditahan dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan dibebaskan selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak oleh mahkamah semalam
Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata tanpa pengakuan mangsa, siasatan di bawah Seksyen 377 (persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.
"Ini adalah satu keadaan yang cukup membimbangkan kita, kalau dalam kategori masalah jenayah sosial, this is the most crucial. Bila kita tangkap, kita siasat di bawah panel kod undang-undang yang ada, saya lihat tidak ada bukti saya boleh bantu ke arah ini.
"Maknanya sekarang ini, walaupun kita sudah ambil tindakan sebegini, penganjurnya nampak macam still at large, kita tak boleh nak attack diorang ini dari sudut undang-undang yang ada sekarang.
"Tiada seorang pun daripada mereka mengaku sebagai mangsa eksploitasi sebab setiap kali (dalam kes) eksploitasi, pelacuran atau luar tabii, mesti ada mangsa. Tiada yang mengaku jadi mangsa, so the case is gone (kes tidak dapat diteruskan).
"Kepada penganjur, memang tidak ada kesalahan setakat ini. Semua rakyat tempatan yang terlibat pun tidak dapat reman, yang dapat reman dua hari hanya ke atas warga asing sahaja," katanya.

Kaji alternatif yang ada sebagai langkah pencegahan
Menurutnya, pihak polis kini melihat keperluan untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain termasuk dari sudut penguatkuasaan syariah atau melibatkan mereka dalam sesi kaunseling.
"Setakat ini kita hanya minta mereka datang untuk rehab, bagi ceramah. Jadi apa yang saya lihat kalau kita tak ubah atau buat pindaan undang-undang, it's gone. Benda ini akan berlaku lebih teruk, lebih teruk dan kami ini yang ambil tindakan tidak ada keberhasilan," katanya.
Tambah Fadil, permohonan reman turut ditolak atas faktor lambat dikemukakan.
"Ianya atas alasan lambat dikemukakan di kehakiman, sebab apa, tangkapan ramai, proses yang perlu dibuat satu persatu, nak dikelaskan, jadi permohonan reman lambat dibuat, so majistret reject," katanya.
Jumaat lalu, seramai 17 penjawat awam antara 201 individu yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 