1 Daripada 5 Rakyat Malaysia Sebenarnya Alami Masalah Pendengaran – KKM
Lebih 50,000 individu kini berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran sehingga Februari lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebanyak 21.5 peratus atau satu daripada lima rakyat negara ini mengalami masalah pendengaran menurut data oleh National Otorhinolaryngology Registry
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga tahun lalu, hampir 44,000 kes dilaporkan dengan beban tertinggi dikesan dalam kalangan dewasa dan warga emas iaitu sebanyak 86.4 peratus.
Katanya, selain faktor genetik dan jangkitan, punca masalah pendengaran adalah kerana ancaman Hilang Pendengaran Akibat Bunyi Bising (NIHL).
"Malah, statistik global menunjukkan hampir satu bilion belia berisiko hilang pendengaran akibat amalan mendengar muzik yang terlalu kuat menggunakan fon telinga atau fon kepala dalam tempoh yang lama.
"Selain itu, data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga menunjukkan NIHL adalah penyakit pekerjaan tertinggi dilaporkan di Malaysia," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Image via Dr Dzulkefly Ahmad (Facebook)Seramai 50,413 individu berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran sehingga Februari lalu
Menurut Dr Dzulkefly, hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini sering menerima pesakit yang sudah berada di peringkat kronik akibat bising industri.
"Oleh itu saya menyeru majikan supaya perkasakanlah Program Pemuliharaan Pendengaran (HCP) dan patuhilah Peraturan Pendedahan Bising 2019.
"Kepada pesakit dan pekerja ketahuilah hak anda. Kerosakan saraf pendengaran akibat bising industri adalah kekal namun ia 100 peratus boleh dicegah," katanya.
Meskipun wujudnya kebimbangan ini, beliau mahu mengubah naratif daripada 'simpati' kepada 'potensi' terhadap pesakit terutamanya daripada golongan pelajar
"Kita sangat bangga melihat murid-murid OKU pendengaran yang menggunakan peranti pendengaran berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam SPM 2025, baru-baru ini.
"Ini bukti nyata dengan intervensi awal, mereka mampu mencapai kecemerlangan setanding rakan sebaya. Mereka bukan sekadar OKU, tetapi mereka adalah 'Orang Kuat Upaya'," katanya.

Sokongan bermula dari rumah jadi punca memunculkan potensi sebelum menerima inisiatif kerajaan
Dr Dzulkefly berkata, sokongan keluarga merupakan punca utama sebelum memaksimumkan potensi mereka sebelum mendapatkan inisiatif daripada Perkhidmatan Audiologi yang membangunkan Modul Habilitasi Aural Pediatrik Malaysia (MyPAHM).
"Modul ini memperkasa ibu bapa supaya dapat membantu anak-anak meningkatkan kemahiran mendengar, memahami dan bertutur secara sistematik di rumah.
"Selain itu, KKM juga terus memperkukuh ekosistem Ear and Hearing Care (EHC) melalui Universal Newborn Hearing Screening (UNHS) iaitu saringan wajib bagi semua bayi di fasiliti KKM bagi memastikan pengesanan seawal usia.
"Ekosistem Pembiayaan Peranti iaitu menerusi PEKA B40, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PERKESO serta bantuan Zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan seramai 5,102 pesakit menerima manfaat ini sepanjang tahun lalu," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 