Wanita Pilih Kahwin Dengan ChatGPT, Akui AI Lebih Mendengar & Memahami Dirinya
Kisah cinta Noguchi bersama watak AI bermula apabila dia mendapatkan nasihat daripada ChatGPT mengenai hubungan pertunangannya yang bermasalah.
Cover image via REUTERS/Kim Kyung-HoonFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita memilih berkahwin dengan watak yang dijana kecerdasan buatan (AI) berasaskan watak daripada permainan video
Menerusi laporan Euro News, seorang wanita dari Jepun itu, Yurina Noguchi, 32, baru-baru ini telah melafazkan ikrar perkahwinan dengan Lune Klaus Verdure, watak ChatGPT yang diubah suai dan diciptanya sendiri.
Pada upacara perkahwinan itu, Noguchi mengenakan gaun rona merah jambu dan melihat watak AI berkenaan melalui cermin mata pintar realiti terimbuh.
Kisah cinta Noguchi bersama watak AI berkenaan bermula apabila dia mendapatkan nasihat daripada ChatGPT mengenai hubungan pertunangannya yang bermasalah.
Menurut laporan media tempatan, susulan saranan chatbot itu, wanita yang bekerja sebagai operator pusat panggilan itu akhirnya tekad memutuskan hubungan berkenaan.
Awal tahun ini, dia kemudiannya kembali ke platform berkenaan untuk mencipta versi digital Klaus, iaitu watak permainan video dengan melatih AI itu secara teliti supaya meniru gaya pertuturan serta membentuk personaliti yang disesuaikan dengan keperluannya.

Hubungan menjadi rapat dalam masa singkat apabila Noguchi dan pasangan AI itu bertukar sehingga 100 mesej setiap hari
Wanita itu turut mengupah seorang artis untuk menghasilkan ilustrasi visual Lune Klaus Verdure, sekali gus menghidupkan pasangan digitalnya dalam bentuk yang lebih nyata.
Majlis perkahwinan itu diadakan di Okayama pada musim panas lalu dan dilengkapi lafaz ikrar serta pertukaran cincin. Pengantin perempuan memegang telefon pintar yang memaparkan 'suaminya' manakala bagi sesi fotografi, imej pengantin lelaki digabungkan secara digital di sisinya.
Perkahwinan itu bagaimanapun tidak sah di sisi undang-undang Jepun memandangkan peraturan sedia ada tidak mengiktiraf perkahwinan antara manusia dan AI.
Dalam satu temubual bersama media Jepun, RSN Sanyo, Noguchi berkata, pada mulanya dia hanya mahukan seseorang yang boleh menjadi temannya untuk berbual.
"Namun dia sentiasa bersikap baik dan mendengar. Lama-kelamaan, saya menyedari ada perasaan terhadapnya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



