TikTok & Durian Percuma Digunakan Bagi Tarik Minat Gen Z Untuk Daftar Nikah
Satu inisiatif yang unik.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pejabat agama di Indonesia menggunakan pendekatan kandungan TikTok dan tawaran durian percuma sebagai insentif bagi menarik minat generasi muda untuk mendaftar perkahwinan
Menerusi laporan The Jakarta Post, media sosial Indonesia dipenuhi video daripada Kantor (Pejabat) Urusan Agama (KUA) yang mempromosikan perkahwinan kepada golongan muda, khususnya generasi Z yang lahir antara 1997 hingga 2012, sejak akhir-akhir ini.
Banyak pejabat KUA menggunakan muzik tular TikTok, visual humor dan konsep pemasaran moden bagi menyampaikan pengetahuan mengenai kehidupan berumah tangga.
Salah satu video paling tular dimuat naik adalah daripada KUA Simangumban di Tapanuli Utara, Sumatera Utara, yang menawarkan durian percuma kepada pasangan yang mendaftar nikah di pejabat tersebut.
"Promosi Januari. Nikah dapat durian, hanya di KUA Simangumban," menurut teks video yang dimuat naik pada 14 Januari lalu dan kini meraih jutaan tontonan serta puluhan ribu komen.
Sebuah inisiatif rasmi daripada Kementerian Agama
Kementerian Agama mengesahkan kandungan itu adalah sebahagian strategi komunikasi bagi menggalakkan kesedaran pendaftaran nikah menerusi program Gerakan Kesedaran Pencatatan Nikah (GAS Nikah) yang dilancarkan Julai tahun lalu.
Langkah itu diambil ketika jumlah perkahwinan umat Islam yang didaftarkan terus menunjukkan penurunan ketara.
Data Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan jumlah pendaftaran turun daripada sekitar dua juta pada 2018 kepada hanya 1.4 juta pada 2024.
"Program ini menyasar golongan muda yang sudah bersedia berkahwin supaya mereka mendaftarkan pernikahan bagi menjamin hak undang-undang mereka," kata Ketua Pengarah Bimbingan Masyarakat Islam, Encik Abu Rokhmad.
Beliau menegaskan perkahwinan tanpa pendaftaran memberi kesan buruk terutama kepada wanita dan kanak-kanak.
"Perkahwinan tidak didaftarkan boleh menjejaskan perlindungan hak dan juga melanggar undang-undang perkahwinan," katanya.

Kempen turut disertai usaha mempromosikan nilai perkahwinan Islam berasaskan konsep sakinah iaitu ketenangan dan keharmonian keluarga
Beberapa pejabat KUA menganjurkan aktiviti awam seperti jalan santai ketika hari tanpa kenderaan bagi mendekati golongan muda secara langsung.
Dalam acara itu, peserta melaungkan 'Tepuk Sakinah', slogan yang pernah tular kerana menekankan nilai asas rumah tangga harmoni.
Di media sosial, pendekatan ini digelar netizen sebagai 'pemasaran KUA' dan mencetuskan perdebatan hangat kerana semakin ramai anak muda Indonesia dilihat ragu untuk berkahwin.
Trend ini menunjukkan cabaran baharu yang dihadapi institusi perkahwinan di era moden. Walaupun strategi kreatif berjaya menarik perhatian Gen Z, keputusan berkahwin bagi ramai anak muda kini lebih berkait soal kestabilan hidup berbanding sekadar romantik semata-mata.
Pihak berkuasa berharap pendekatan baharu terbabit dapat meningkatkan kesedaran bahawa perkahwinan bukan sekadar acara sosial, malah sebuah perlindungan undang-undang dan tanggungjawab jangka panjang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 