Selepas Tujuh Tahun, Afgan Kini Kembali Ke Akar Pop Indonesia Dengan Album Terbaharu ‘Retrospektif’
Retrospektif kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 19 November 2025.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas tujuh tahun tidak muncul dengan album penuh berbahasa Indonesia, penyanyi tersohor Afgan kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Retrospektif
Album ketujuh ini menjadi penanda penting dalam perjalanan seni dan peribadinya, menampilkan refleksi mendalam mengenai proses jatuh bangun serta bagaimana beliau menemukan semula suara paling jujur dalam dirinya.
Karya ini turut menandai kepulangan Afgan ke akar muzik pop Indonesia yang membentuk identitinya sebagai seorang artis.
Menurut Afgan, Retrospektif hadir sebagai ruang renungan peribadi, di mana Afgan menulis dan merakam lagu-lagunya dengan pendekatan yang lebih intim dan telus.
"Album ini bukan sekadar menoleh ke masa lalu, tetapi menjadi cara memahami perjalanan yang membentuk diri dari aspek kehidupan mahupun pengalaman muzik.
"Selepas bertahun-tahun bereksperimen, saya ingin kembali ke akar yang pernah mendewasakan saya. Tapi kali ini dengan hati yang lebih matang, jujur dan sedia berbagi cerita," katanya dalam satu kenyataan.

Menampilkan elemen pop dan R&B yang menjadi identiti Afgan
Album yang memuatkan sepuluh lagu ini menampilkan elemen pop dan R&B yang menjadi identiti Afgan, namun disampaikan melalui produksi yang lebih organik dan hangat.
Proses pembikinannya turut membabitkan barisan komposer terkemuka seperti Petra Sihombing, Muhammad Kamga, Iqbal Siregar, Bilal Indrajaya dan Rendy Pandugo. Majoriti produksi album diterajui Petra Sihombing, manakala dua lagu lain diterbitkan oleh Gerald Situmorang dan Rendy Pandugo.
Sebagai penerbit, Petra Sihombing menyaksikan sendiri bagaimana Afgan melalui proses pencarian kreatif sepanjang penghasilan album ini.
Menurutnya, Afgan hadir tanpa perancangan besar, namun secara perlahan menemukan arah dan bahasa muzik yang ingin disampaikan.
"Saya menyaksikan seseorang melewati proses pencarian itu adalah perkara yang sangat indah. Tenaga itu yang buat album ini berasa sangat peribadi kerana kita tidak tunggu inspirasi datang, tapi mencarinya bersama," jelas Petra.

Menariknya, semua penerbit yang terbabit dalam album ini ialah pemain gitar. Pemilihan itu memberikan dimensi berbeza berbanding karya Afgan sebelum ini yang mana lebih organik, 'earthy', maskulin dan dekat dengan nuansa akustik sekali gus jauh daripada gaya balada yang sinonim dengan dirinya.
Hasilnya, Retrospektif tampil segar namun tetap dekat di hati pendengar, ibarat sebuah perbualan peribadi antara artis dan peminat.
Single pertama "Kacamata" yang dilancarkan lebih awal, membuka jalan kepada pendengar untuk memasuki dunia Retrospektif. Lagu ini menerima sambutan hangat dengan mencatat lebih 4 juta penstriman dalam tempoh kurang sebulan.
"Kacamata" membawa mesej bahawa mengalah bukan bererti kalah iaitu sebuah cara lain untuk mencintai meskipun akhirnya terpaksa melepaskan.
Antara judul lagu lain yang dimuatkan dalam album Retrospektif ialah Misteri Dunia, Sebentar, Silakan, Peluk, Sampai Jumpa, Tak Ada Rencana, Kepastian, The One That Got Away dan Masa Iya?.

Secara keseluruhan, Retrospektif adalah potret kematangan Afgan sebagai pemuzik dan insan. Album ini bukan mengenai nostalgia, tetapi penerimaan dan penghargaan terhadap perjalanan hidup.
"Saya ingin orang yang mendengar album ini berasa ditemani. Buat saya, Retrospektif adalah perjalanan pulang ke tempat di mana saya pertama kali menemukan makna muzik dan jujur sama diri sendiri," kata Afgan.
Retrospektif kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 19 November 2025, membawa pendengar menyelami kisah perjalanan, kehilangan dan ketulusan yang menjadi inti karya seorang Afgan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



