Rekod Bacaan Al-Quran Terpanjang Dalam Kereta Api Bakal Dicipta Dari KL Sentral Ke Hatyai
Inisiatif yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records itu menampilkan bacaan al-Quran di dalam kereta api rentas sempadan antarabangsa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 tahun ini, satu percubaan untuk mencipta rekod Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai akan dilaksanakan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata inisiatif yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records itu bakal menampilkan bacaan al-Quran di dalam kereta api rentas sempadan antarabangsa.
"Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah tidak terikat pada mimbar atau dewan, tetapi boleh disampaikan di mana jua dengan pendekatan segar, bermakna dan penuh nilai.
"Ia membuka lembaran baharu dalam penyampaian syiar Islam melalui teknologi, logistik dan kreativiti.
"Cuma, saya pesan kepada jawatankuasa penganjur, bila dalam kereta api itu ada orang lain, mungkin ada penumpang bukan Islam, kena pastikan tidak mengganggu orang lain," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Image via Berita HarianMTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos di WTCKL disertai seramai 72 peserta dari 50 negara bersaing dalam dua kategori utama iaitu Tilawah dan Hafazan al-Quran 30 Juzuk
Mohd Na'im berkata majlis pada tahun ini membawa tema "Membangun Ummah MADANI" yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina masyarakat bertamadun berakar pada nilai-nilai Qurani.
"Penganjuran MTHQA bukan sekadar menzahirkan bacaan dan hafazan, tetapi juga menjadi wahana untuk menghayati isi kandungan al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Inilah manifestasi iltizam Kerajaan MADANI.
"Empat aspek utama dinilai dalam Tilawah iaitu Tajwid, Tarannum, Fasahah dan Suara. Manakala Hafazan pula turut dinilai dari aspek Kelancaran dan Ketepatan Hafazan.
"Selain pertandingan utama, MTHQA turut diisi dengan pelbagai acara lain termasuk Simposium al-Quran Sedunia (WQS) pada 7 Ogos yang akan menampilkan Imam Masjid Nabawi, Shaikh Dr Salah Muhammad al-Budair sebagai penceramah utama," katanya.
Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000, manakala Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM30,000 dan RM20,000.
MTHQA ke-65 bakal diadili oleh seramai 16 orang hakim antarabangsa dari Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan Indonesia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 