Pelukis Asal Lukisan Budak Berbasikal Terkenal Di Penang Tampil Saman AirAsia
Pemfailan saman tersebut dilakukan atas dakwaan penggunaan karya seni ikoniknya tanpa kebenaran.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelukis jalanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Ernest Zacharevic memfailkan saman terhadap AirAsia Berhad dan syarikat induknya pada masa itu, Capital A Berhad
Pemfailan saman tersebut dilakukan atas dakwaan penggunaan karya seni ikoniknya bertajuk Kids on Bicycle tanpa kebenaran.
Zacharevic yang tinggal di Pulau Pinang selama lebih 15 tahun mengesahkan beliau melakukan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendapati karya seninya telah diterbitkan semula pada livery pesawat AirAsia tanpa persetujuannya.

Menurut pemfailan yang dilakukan, Zacharevic mendapati pada Oktober 2024, visual karyanya Kids on Bicycle, sebuah mural yang terkenal di George Town, Pulau Pinang, telah diletakkan pada bahagian luaran pesawat AirAsia
Pesawat terbabit, yang memaparkan karya seni itu, dilaporkan telah diterbangkan melalui laluan komersial ke beberapa destinasi antarabangsa sebelum ia dialihkan, susulan bantahan yang dibangkitkan oleh artis tersebut.
Zacharevic menegaskan bahawa karya seni itu telah digunakan tanpa pengetahuan, lesen atau kebenarannya.
Artis itu mendakwa ini bukanlah insiden yang baru. Dalam kenyataannya, Zacharevic mendakwa penggunaan karya seninya oleh AirAsia telah digunakan tanpa kebenaran sejak tahun 2016.
Dia mendakwa karya seninya sebelum ini telah muncul di pelbagai platform AirAsia, termasuk kempen e-mel, iklan dalam talian, majalah dalam penerbangan, sepanduk bercetak dan aset promosi lain, semuanya tanpa kebenaran, pengaturan pelesenan, pembayaran atau kredit yang betul.
"Tingkah laku berulang ini beri kesan yang berbahaya, bahawa karya seniman boleh dieksploitasi tanpa akibat," katanya sambil menambah bahawa isu itu menjejaskan komuniti kreatif yang lebih luas, bukan sahaja dirinya sendiri.

Dakwa berlakunya pelanggaran hak cipta dan gangguan terhadap kepentingan urusan serta perniagaannya
Dia menuntut deklarasi yang mengiktiraf haknya sebagai artis, perintah mahkamah yang menghalang penggunaan tanpa kebenaran selanjutnya, penyingkiran dan pemusnahan bahan yang melanggar hak cipta dan pampasan kewangan yang sewajarnya.
"Saya tidak menerima sebarang pencirian penggunaan ini sebagai sekadar rujukan budaya atau geografi.
"Karya seni ini merupakan ciptaan artistik yang tersendiri. bukannya bersifat generik tetapi hasil daripada latihan profesional, kemahiran dan tenaga kerja selama bertahun-tahun," katanya.
Zacharevic berkata kes itu difailkan untuk membolehkan mahkamah menentukan isu-isu undang-undang yang terlibat secara bebas, dengan menyatakan bahawa tiada penemuan dibuat pada peringkat ini.
"Sebarang perkembangan akan ditentukan oleh mahkamah," katanya sambil menambah bahawa prosiding akan diteruskan mengikut proses yang sewajarnya.
Pihak SAYS telah menghubungi AirAsia untuk mendapatkan maklum balas. Pada masa penulisan ini, syarikat penerbangan itu masih belum memberikan respons terperinci terhadap dakwaan tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 