Nama Anak Tidak Boleh Dibinkan Bapa Jika Gagal Daftar Nikah Di Malaysia
Difahamkan, pasangan yang berkahwin di luar negara, termasuk Thailand perlu mendaftarkan pernikahan di Malaysia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Anak pasangan Muslim berkahwin di luar negara tetapi gagal membuat pengesahan nikah di Malaysia, tidak boleh dibinkan kepada bapa dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran anak berkenaan masih boleh dibuat dengan JPN bagi mendapatkan sijil kelahiran, namun nama bapa perlu dinasabkan kepada Asmaul Husna (99 nama Allah SWT).
Katanya, ketika pendaftaran, status pernikahan ibu bapa perlu dibuktikan melalui dokumen pernikahan yang sah dan diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.
Sekiranya pernikahan tidak didaftarkan atau tidak dapat disahkan, proses pendaftaran kelahiran itu akan didaftarkan mengikut Seksyen 13.
Seksyen 13 bermaksud pasangan tidak berkahwin, tetapi hadir untuk tandatangan bersama di Borang LM01; pasangan berkahwin di luar negara, tetapi tidak mendaftar mengikut undang-undang Malaysia dan kanak-kanak Islam dilahirkan belum cukup enam bulan Qamariah dari perkahwinan ibu bapa.
"Taraf kewarganegaraan anak dalam sijil kelahiran adalah mengikut taraf kewarganegaraan ibu ketika kelahiran berlaku.
"Sekiranya bapa adalah warga Malaysia, manakala pasangannya warga asing, namun perkahwinan tidak diiktiraf mengikut undang-undang (di Malaysia), taraf warganegara anak mengikut taraf warganegara ibu," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via BernamaDibenarkan menukar semula letak nama bapa selepas selesai mendaftar
Menurut Badrul Hisham, nama anak terbabit boleh dikemas kini ditukar kepada nama bapa semula selepas pasangan itu melakukan pendaftaran perkahwinan di Malaysia.
Katanya, apabila pasangan sudah mendaftar semula perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah, ibu bapa boleh hadir semula ke JPN untuk membuat pembetulan maklumat mengikut Seksyen 27(3) dengan menasabkan nama bapa.
"Berdasarkan rekod JPN, ada kes dokumen pengenalan diri kanak-kanak menjadi tidak lengkap atau memerlukan pengesahan lanjut akibat pernikahan ibu bapa yang tidak didaftarkan di Malaysia.
"JPN ingin menegaskan bahawa setiap kes dinilai secara individu berdasarkan dokumen dan fakta yang dikemukakan.
"Buat masa ini, JPN tidak mempunyai angka khusus, namun isu ini memang memberi implikasi terhadap kelancaran urusan dokumentasi anak," katanya.
Katanya, pendaftaran pernikahan bukan sahaja penting dari sudut pematuhan undang-undang malah bertujuan melindungi hak dan kepentingan anak, khususnya dalam urusan pendaftaran kelahiran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri.
"Kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan jangka panjang kepada anak, termasuk urusan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 