Muhyiddin Yassin Letak Jawatan Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional
Difahamkan, keputusan itu dibuat susulan ketegangan memuncak antara PAS dan BERSATU.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) malam tadi
Menerusi laporan Berita Harian, peletakan jawatan Presiden BERSATU itu disahkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Difahamkan, bekas Perdana Menteri berkenaan memaklumkan mengenai perkara terbabit melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, malam tadi.
"Ya, Tan Sri memaklumkan mengenai perkara itu malam tadi," kata Tun Faisal ringkas.
Sementara itu, sumber dalaman parti memaklumkan bahawa Muhyiddin memaklumkan sudah memuktamadkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Difahamkan, pada mulanya hasrat Muhyiddin berkenaan dibantah sebahagian ahli MPT dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu menarik semula keputusannya.
"Tan Sri (Muhyiddin) memaklumkan kepada ahli MPT di dalam kumpulan WhatsApp MPT pada malam tadi, beliau sedia berundur diri pada bila-bila masa.
"Beliau (Muhyiddin) nyatakan bahawa pandangan ini beliau sampaikan di dalam kumpulan WhatsApp Ahli Parlimen. Bagaimanapun hasrat Tan Sri dibantah oleh sejumlah MPT dan meminta beliau menariknya semula.
"Pada tengah malam, Tan Sri memaklumkan bahawa beliau sudah memuktamadkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan berharap ahli MPT dapat menerima keputusannya," katanya.

Keputusan dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan BERSATU susulan tindakan pemimpin BERSATU di Perlis didakwa memulakan percubaan rampasan kuasa menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu
Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU semakin ketara sehingga menyaksikan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama UMNO atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.
Malah, sebelum ini sudah wujud beberapa desakan daripada PAS, termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada PAS.
Menurut sumber, sebahagian ahli MPT berpandangan Muhyiddin tidak wajar berundur, sebaliknya perlu kekal sebagai Pengerusi PN di mana mereka berpandangan PAS yang sepatutnya meninggalkan PN dan meneruskan hasrat mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
"Ada sejumlah ahli MPT yang berpandangan jalan penyelesaian yang lebih wajar adalah, Tan Sri kekal sebagai Pengerusi PN.
"Berikutan PAS sudah berulang kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan PN dan menyertai MN bersama UMNO, sejumlah ahli MPT berpandangan eloklah PAS meneruskan hasrat mereka untuk bersama MN dan meninggalkan PN.
"Sementara PN dan Tan Sri (Muhyiddin) terus kekal bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan meneruskan usaha yang sedang dilaksanakan.
"Mungkin dengan ketiadaan PAS, MCA, MIC dan sejumlah parti lain akan berasa lebih selesa menyertai PN," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 