KTMB Tawar Diskaun 30% Sempena Pelancaran ETS Ke JB Sentral Sehingga 11 Januari Ini
Bolehlah selalu pergi JB nanti!
Cover image via KTM BerhadFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun istimewa 30 peratus sempena pembukaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke JB Sentral bermula Jumaat ini
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KTMB, tawaran diskaun itu melibatkan perjalanan yang akan bermula Jumaat ini, 12 Disember hingga 11 Januari depan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata penumpang boleh menikmati tawaran itu dengan menggunakan kod promosi JBBEST ketika pembelian tiket dengan sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Katanya, kemudahan pengangkutan awam itu bukan sahaja memudahkan mobiliti harian malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura.
"Pelaksanaannya tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, ketika rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar negeri melalui sambungan tren ETS.
"Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan di kedua-dua arah," katanya.


Menandakan selesainya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB)
KTMB turut memaklumkan pengoperasian berkenaan menandakan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB), membabitkan pembinaan jajaran sepanjang 192 kilometer serta 11 stesen, sudah disiapkan mengikut jadual.
Bagaimanapun, perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa untuk laluan sektor utara selaras dengan proses pentauliahan set ETS.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios KTMB bagi kemudahan pelanggan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
Lihat kenyataan penuh di bawah:


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



