Jangan Terpedaya Dengan Sindiket Tipu Bantuan SARA Di WhatsApp – Polis
Mesej-mesej palsu yang disekalikan bersama pautan berkaitan bantuan SARA dilihat tersebar di aplikasi WhatsApp
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang ramai perlu berhati-hati dengan sindiket penipuan yang mengambil kesempatan terhadap bantuan RM100 melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menjangkakan kegiatan sindiket berkenaan akan kembali aktif memperdaya orang ramai bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan atas alasan kononnya untuk tujuan pengesahan bantuan.
Menurutnya, lazimnya sindiket itu menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dengan menghubungi mangsa dan menghantar mesej palsu atau pautan phishing yang kelihatan rasmi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon, bagi memperdaya mangsa.
"Sebaik saja maklumat seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan atau kod OTP diperoleh, penjenayah akan mengakses akaun mangsa dan memindahkan wang tanpa disedari," katanya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan penipuan program berkenaan. Beliau menegaskan pihak polis memandang serius potensi eksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Image via NSTPSaran orang ramai tidak memberi maklumat peribadi dengan begitu mudah
Rusdi memaklumkan orang ramai untuk berwaspada dan tidak mudah berkongsi sebarang maklumat peribadi atau kewangan dengan individu tidak dikenali.
"Jangan mudah percaya dengan panggilan, mesej atau pautan yang mendakwa kononnya daripada agensi kerajaan yang menawarkan bantuan. Jangan sekali-kali menekan pautan yang mencurigakan atau mengisi maklumat peribadi di laman web yang tidak disahkan.
"Orang ramai juga disarankan untuk menyemak dengan teliti syarat permohonan, kelayakan dan pelaksanaan bantuan, sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan kecil seperti berkongsi OTP boleh membawa kepada kerugian kepada mangsa dan orang ramai dinasihatkan agar hanya mendapat maklumat sahih dan terkini melalui portal rasmi kerajaan atau media arus perdana yang diiktiraf.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 