Influencer, YouTuber Yang Buat Review Produk & Jenama Wajib Isytihar Pendapatan – LHDN
Individu yang gagal melaporkan pendapatan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Individu yang menjalankan perniagaan wajib melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia termasuk walaupun mereka mengalami kerugian
Menerusi laporan Bernama, Ketua Penolong Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil berkata, ramai pembayar cukai menganggap mereka tidak perlu melaporkan pendapatan jika mengalami kerugian sedangkan itu adalah tanggapan yang salah.
"Rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa. Tak kira untung atau rugi, anda tetap wajib hantar dan laporkan pendapatan setiap tahun. Jangan risau kalau perniagaan rugi, tidak semestinya anda kena cukai.
"Kalau anda mempunyai pendapatan lain seperti gaji, gabungan pendapatan akan dikira dalam Borang B (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi individu yang menjalankan perniagaan). Jadi, masih berkemungkinan anda dikenakan cukai," katanya.
Tambah beliau, individu yang diklasifikasikan sebagai menjalankan perniagaan termasuk YouTuber, Instafamous, pempengaruh atau yang membuat ulasan berbayar, selagi mereka menerima pendapatan.
Image via Wilayahku
Individu yang gagal melaporkan pendapatan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah
Tegas beliau lagi, individu yang gagal untuk melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan adalah satu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.
"Menurut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan seseorang dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, anda boleh dikenakan audit cukai, melibatkan semakan menyeluruh terhadap semua transaksi dan dokumen kewangan perniagaan. Proses ini boleh jadi rumit, memakan masa dan menjejaskan reputasi serta kewangan perniagaan, jadi boleh mula lapor pendapatan sekarang melalui Borang B atau e-B di Portal MyTax dari 1 Mac hingga 15 Julai," katanya.
Untuk memudahkan lagi urusan penghantaran laporan pendapatan itu setiap tahun, beliau menyarankan rekod percukaian perniagaan disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun termasuk penyata kewangan perniagaan, penyata bank, rekod keluar masuk wang tunai, invois pembekal dan invois jualan kepada pelanggan.
"Untuk perbelanjaan yang boleh dituntut pula, hanya perbelanjaan yang benar-benar berkaitan secara langsung dengan perniagaan sahaja yang dibenarkan. Oleh itu, anda perlu bijak membezakan antara perbelanjaan perniagaan dan perbelanjaan peribadi supaya tidak melakukan kesalahan semasa menghantar dan melaporkan pendapatan anda," katanya.
Menurutnya, dengan mematuhi kewajipan melaporkan pendapatan, seseorang individu dapat meningkatkan imej dan reputasi perniagaan mereka di mata pelanggan, pelabur dan pihak berkuasa kerana menunjukkan komitmen menjalankan perniagaan mengikut undang-undang percukaian.
Bukan itu sahaja, mereka juga akan lebih mudah memperoleh insentif dan pengecualian cukai daripada kerajaan termasuk insentif pelaburan dalam sektor tertentu, bantuan penyelidikan dan pembangunan, serta kemudahan untuk pemilik perniagaan kecil dan sederhana.
"Pembayaran cukai yang teratur juga memberi peluang kepada kerajaan untuk menyediakan sokongan kepada perniagaan, seperti program latihan, pembiayaan mikro dan bantuan teknikal yang dapat membantu perniagaan berkembang dan lebih berdaya saing," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via