Dr Mahathir Patah Tulang Pinggul Susulan Jatuh Di Kediaman Semalam
Difahamkan, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi semalam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya
Menerusi laporan Berita Harian, Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata sehubungan itu, Dr Mahathir dijangka memerlukan rawatan dan pemerhatian doktor di hospital bagi tempoh beberapa minggu lagi.
"Selepas menjalani penilaian perubatan, disahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.
"Tun dijangka dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi rawatan dan pemerhatian," katanya.
Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dibawa Institut Jantung Negara (IJN) dua jam kemudian.
Sufi berkata, Dr Mahathir dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.

Dilihat serius tetapi tidak mengancam nyawa
Anak perempuannya, Datin Paduka Marina berkata walaupun perkara itu dianggap sebagai serius, ia tidak mengancam nyawa, sambil menegaskan bahawa bapanya berada dalam keadaan baik mengambil kira faktor usianya.
"Ia suatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Bagi usianya, segala-galanya adalah relatif, beliau baik-baik sahaja.
"Kami akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dengan butiran lanjut kemudian. Kami perlu memastikan semua istilah yang betul digunakan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini dalam perjalanan ke Turkiye bagi lawatan rasmi, menzahirkan doa untuk kesembuhan Dr Mahathir.
"Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah," katanya melalui hantaran ringkas di media sosial.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 