Periuk & Senduk Jadi Simbol Kebuluran, Rakyat Malaysia Kongsi Pengalaman Luar Biasa Perarakan Di Sydney
"Bila tengok kanak-kanak dibunuh, keluarga hancur, hospital dibom, kita tak boleh duduk diam." – Shaifful Shazwan
Cover image via @sharkradzuan (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dianggarkan hampir 300,000 orang menyertai perarakan besar-besaran menyeberangi Jambatan Harbour Sydney bagi membantah tindakan Israel di Gaza, Ahad lepas
Menurut laporan Sinar Harian, perarakan yang dinamakan sebagai "March for Humanity: Save Gaza" itu dianjurkan oleh Palestine Action Group dan mencatat kehadiran luar biasa sekali menjadikannya salah satu protes terbesar yang pernah disaksikan di Australia.

Bercakap dengan SEISMIK, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Sydney berkongsi pengalaman luar biasa menyertai perarakan tersebut
Shaifful Shazwan, 40, memberitahu dia berasa sunnguh bangga dan terharu kerana menjadi salah seorang yang menyertai perarakan solidariti Palestin di Sydney Harbour Bridge.
Menurutnya, ia sesuatu yang luar biasa melihat gelombang ribuan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat berarak ke arah Sydney Harbour Bridge dari pusat bandar Sydney walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Penduduk bangun awal pagi membawa sepanduk, poster, bendera, periuk dan senduk
Pada awalnya dia menyangka, perarakan itu hanya dihadiri komuniti kecil Muslim tetapi ternyata penduduk di sana seawal pagi Ahad sudah bersemangat menaiki kenderaan awam seperti tren dan bas menuju ke pusat bandar dengan sepanduk, poster, bendera, periuk, dan senduk.
"Setibanya saya di kawasan perarakan, saya boleh lihat terpancar riak wajah masing-masing yang bersemangat berkobar-kobar dengan laungan anti-Israel bagi meastikan mesej perarakan ini sampai kepada kerajaan Australia," katanya.
"Di sini sendiri saya lihat bagaimana rakyat Australia sebenarnya cakna dengan isu kemanusiaan, sama seperti rakyat Malaysia yang berharap kekejaman dan penghapusan etnik Palestin oleh Israel dapat dihentikan," sambungnya lagi.

"Hadir ke perhimpunan tu bukan nak tunjuk hebat, tapi nak tunjuk yang kita peduli" – Shazwan
Menurut Shazwan, jikalau kita diam tandanya kita bersetuju. Jadi itu adalah sebab mengapa dia berasa penting untuk menghadirkan diri dalam perhimpunan tersebut.
"Walaupun saya sedar saya bukan orang besar, bukan ahli politik, tapi saya percaya setiap langkah kecil kita pasti ada nilai, saya hadir ke perhimpunan tu bukan nak tunjuk hebat, tapi nak tunjuk yang kita peduli.
"Bila tengok kanak-kanak dibunuh, keluarga hancur, hospital dibom, kita tak boleh duduk diam. Sekurang-kurangnya, biar dunia tahu yang rakyat Malaysia di Sydney bersama-sama penduduk Australia berdiri bersama untuk bersuara menyokong keadilan untuk Palestine," katanya.

Tetap bertahan berdiri dalam hujan lebat, sebagai bentuk solidariti dan protes terhadap kematian kanak-kanak akibat kelaparan
Bila ditanya apakah momen yang menyentuh hati ketika dia di sana, dia menjawab ramau peserta membawa periuk dan kuali sebagai simbol kelaparan penduduk Gaza.
Ceritanya lagi, walaupun perhimpunan itu dihadiri oleh ratusan ribu manusia, ianya tetap berlangsung dengan aman, teratur tanpa ada gangguan dari polis seperti yang berlaku di negara-negara barat yang lain.
"Peserta saling bantu membantu dan prihatin seperti memberi laluan kepada peserta OKU, yang membawa anak-anak kecil dan warga emas.
"Mereka berkongsi payung dengan orang asing dalam keadaan hujan lebat dan hulurkan tangan kalau ada yang terjatuh, betul-betul buat rasa terharu dan sebak.
"Masa tu saya sedar, dalam suasana duka, masih ada cahaya kemanusiaan dan saya rasa bertuah dapat saksikan dan jadi sebahagian dari momen itu," kongsinya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



