Apa Itu PFLNG DUA & Kenapa Ia Penting Untuk Industri Tenaga Malaysia?
FLNG DUA ialah kemudahan FLNG laut dalam pertama di dunia.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kalau sebelum ini anda pernah dengar tentang PFLNG DUA tapi tidak pasti apa sebenarnya fasiliti ini, dokumentari Merintis Horizon mungkin jawapannya
Diterbitkan oleh PETRONAS dengan kerjasama TV3, Tonton dan Majalah 3, dokumentari berdurasi 47 minit ini membawa penonton melihat secara langsung operasi PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas (PFLNG) DUA di perairan Sabah.
Tonton video penuh di bawah:
PFLNG DUA ialah fasiliti FLNG laut dalam pertama dunia

Untuk pengetahuan anda, PFLNG DUA merupakan fasiliti floating liquefied natural gas (FLNG) laut dalam pertama dunia, beroperasi di perairan dengan kedalaman melebihi 1,300 meter.
Terletak di medan gas Rotan, kira-kira 190km dari pesisir Sabah, fasiliti ini membolehkan gas asli yang sebelum ini sukar atau tidak ekonomik untuk dibangunkan diproses terus di laut.
Berbeza dengan projek LNG tradisional yang memerlukan saluran paip ke darat, PFLNG DUA melaksanakan keseluruhan proses LNG di tengah laut. Gas dari telaga dasar laut akan diproses, disejukkan sehingga -163°C menjadi cecair, disimpan di atas fasiliti dan dipindahkan terus ke kapal LNG untuk tujuan eksport.
Fasiliti ini dibina di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, Korea Selatan dan siap pada tahun 2020 sebelum kembali beroperasi di perairan Malaysia. Kini, ia antara fasiliti LNG terapung laut dalam pertama di dunia yang aktif beroperasi.
Operasi kompleks yang bergantung kepada kepakaran kru
Walaupun PFLNG DUA adalah satu pencapaian kejuruteraan, kejayaannya banyak bergantung kepada individu yang mengendalikannya setiap hari.
Antara yang diketengahkan dalam dokumentari ini ialah Lim Chin Chee, salah seorang jurutera operasi wanita di PFLNG DUA. Peranannya melibatkan pemantauan kestabilan proses dan tindak balas segera terhadap keperluan operasi secara masa nyata di fasiliti luar pesisir.
Dokumentari ini turut memaparkan bagaimana operasi luar pesisir memerlukan tahap disiplin keselamatan dan koordinasi yang tinggi dalam persekitaran berisiko.
Proses docking & pemindahan LNG yang sangat teliti

Salah satu segmen utama dalam Merintis Horizon ialah proses perapatan kapal LNG ke PFLNG DUA.
Sebelum LNG boleh dipindahkan, kapal LNG perlu dirapatkan dengan teliti, proses ini boleh mengambil masa sehingga tiga jam, bergantung kepada keadaan laut dan pergerakan kedua-dua kapal.
Selepas berjaya dirapatkan, pemindahan LNG mengambil masa sekitar 14 jam, dengan gas cecair dipam pada suhu amat rendah di bawah pemantauan tekanan yang ketat serta pelbagai lapisan keselamatan.
147,000 meter padu LNG & pencapaian 100 kargo
Sebagai perbandingan, jumlah ini mampu membekalkan elektrik kepada keseluruhan Pulau Langkawi selama kira-kira 20 bulan, atau menyediakan tenaga kepada sekitar satu juta rumah selama sebulan.
Pada Mei 2025, PFLNG DUA mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya menghantar kargo LNG ke-100, sekali gus menandakan lima tahun operasi yang konsisten dan selamat.
Milestone ini bukan sekadar angka, tetapi membuktikan keupayaan Malaysia mengendalikan antara fasiliti LNG terapung paling kompleks di dunia secara berterusan.
Anda kena tonton sampai habis, sebab ini bukan cerita biasa-biasa!
Merintis Horizon kini boleh distrim di saluran YouTube TV3 serta di Tonton.
Jika anda ingin memahami dengan lebih mendalam bagaimana fasiliti ini beroperasi dan kenapa ia dianggap satu pencapaian besar dalam industri tenaga Malaysia, dokumentari ini wajar ditonton hingga selesai.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

