TV AlHijrah Lancar Wakaf Media, Inisiatif Dakwah Berterusan Melalui Penyiaran Islamik
Yayasan Waqaf Malaysia bakal bertindak sebagai pengurus dana bagi pastikan ketelusan.
Cover image via TV AlHijrahFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Stesen televisyen Islamik negara, TV AlHijrah, melakar sejarah baharu dalam dunia penyiaran dengan pelancaran Wakaf Media
Inisiatif sulung ini menggabungkan konsep wakaf tradisional dengan teknologi media bagi menyokong penyebaran ilmu serta pembangunan kandungan Islamik yang mampan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Everly Putrajaya semalam telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis pelancaran inisiatif itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Sen Dr. Zulkifli Hasan, semalam.
Image via TV AlHijrahMelalui inisiatif Wakaf Media, dana yang dikumpulkan daripada orang ramai dan sektor korporat akan dimanfaatkan untuk tiga tujuan utama:
- Membiayai penerbitan kandungan ilmiah Islamik yang berkualiti.
- Pembangunan aset dan fasiliti media penyiaran.
- Pelaburan dalam instrumen patuh syariah bagi menjana manfaat wakaf yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata usaha ini diharapkan dapat membuka ruang baharu bagi umat Islam untuk terlibat secara langsung dalam menentukan kualiti program dakwah yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.
"Waqaf Media diwujudkan untuk memberi peluang kepada umat Islam menikmati program-program dakwah yang disediakan oleh media Islam sendiri, memandangkan pengaruh media yang sangat meluas dalam cabaran masa kini," jelas beliau.
Sebagai langkah permulaan, dana yang terkumpul akan menyokong penerbitan dua program berimpak tinggi iaitu Quran@114 dan Hadis@114
- Quran@114: Mengajak masyarakat memahami mesej, pengajaran, dan hikmah di sebalik kesemua 114 surah dalam al-Quran secara sistematik.
- Hadis@114: Memperkenalkan 114 hadis terpilih bagi menghubungkan masyarakat dengan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup yang relevan.

Bagi menjamin integriti, Yayasan Waqaf Malaysia telah dilantik sebagai Pengurus Dana Wakaf. Kerjasama ini memastikan setiap sumbangan diuruskan secara telus, berakauntabiliti, dan patuh syariah.
Langkah ini juga selaras dengan kerangka pentadbiran wakaf negara melalui penyelarasan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertindak selaku Pemegang Amanah Tunggal wakaf.
Wakaf Media kini menjadi platform baharu bagi rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada kelestarian dakwah melalui penguasaan teknologi penyiaran dan ilmu pengetahuan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



